Dalam lebih kurang 25 hari lagi, genaplah 'usia' setahun aku bergelar sebagai seorang 'Cikgu'.
Setahun.
Bagi kebanyakan orang, usia setahun mengajar itu masih terlalu muda. Masih terlalu hijau.
Tapi, bagi aku, 'setahun' yang lalu ini lah yang telah banyak mengajar erti sebenar selok-belok bagaimana mahu menyusuri hari-hari sebagai seorang pendidik untuk detik-detik 365 hari yang seterusnya.
Aku bersyukur pada Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, aku telah di'pilih' untuk menggalas cabaran sebagai seorang tenaga pengajar di salah sebuah sekolah rendah. Walaupun banyak yang memperlekehkan status sekolah RENDAH itu sendiri, namun aku tetap bersyukur.
Terima kasih Ya Rabbi. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar.
Sepanjang setahun bergelar seorang Cikgu, aku dapat merasai kemanisan kerjaya ini. Jika dulu aku hanyalah seorang murid biasa, kini aku lah si pemegang kapur di depan papan hitam kelas. Jika dulu aku merupakan antara murid yang lewat menghantar kerja sekolah, kini aku lah orang yang sentiasa memastikan anak-anak muridnya menghantar kerja sekolah tepat pada masanya.
Di kelilingi anak-anak murid pada setiap hari persekolahan seolah-olah memberikan satu terapi minda & jiwa tatkala melihatkan keletah mereka sewaktu 'beraksi' di dalam kelas. Walaupun tidak dinafikan adakalanya keletah mereka itu perlu ditegur, namun bak kata pepatah: "buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.. mereka budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan".
Namun begitu, selazat mana pun kemanisan sesuatu hidangan itu, sudah pasti akan ada pahitnya. Tidak akan dapat aku lupakan terhadap sebutir-sebutir hinaan dan cacian oleh segelintir rakan-rakan, malahan ada yang datang dari mulut saudara-mara sendiri tatkala aku mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Pegawai Penyelidik di USM untuk mengabdikan diri dalam bidang pendidikan 2 tahun yang lalu.
"Apalah kau jadi Cikgu, low class.."
"Kau tak malu ke jadi Cikgu? Eee.. Kalau aku malu.."
"Jangan tiru si Ajam tu.. Belajar tinggi-tinggi jadi Cikgu je.."
Pedih.
Memang perit bila terkenangkan saat mula-mula mahu mendaftarkan diri di maktab perguruan tahun lepas. Dalam meraih sokongan, cacian yang aku kail kan.
Apepun, seperti yang aku pernah nyatakan dalam titipan nota-nota sebelum ini, aku kini sudah mampu tersenyum.
Azam aku ialah mahu terus mengabdikan diri atas landasan dunia pendidikan sehinggalah melelapkan mata. InsyaAllah, mudah-mudahan impian untuk bergelar Doktor Pendidikan akan dipermudahkan kelak.
Amiiin, Ya Rabbal Alamiiin.
"Teacher is someone who opens a school door, closes a prison" ~ Victor Hugo.
I enjoyed myself to the fullest,
SIGNED.
(Cikgu Muazam Mohd Yunus)
2 Januari 2009 - 2 Januari 2010
1st Anniversary as a Teacher.